Penerbitan Teater | Pengarahan Teater | Penulisan Drama Pentas | Lakon Layar | Puisi | Lirik | Lagu | Ilustrasi | Grafik | Lukisan | Catan | Arca | Tugu | Lakonan | Tarian | Rekaan / Pembuatan Set & Prop | Skrin | Pentas

hubungi negrisamudra@gmail.com untuk berurusan.

Thursday, July 19, 2012

Ko-e Bertemu Kohey Dalam 'Taikuh Jikang'



Pada malam pratonton, aku terserempak dengan Ko-e atau Kamrul Bahri Hussin, di tingkat 4, Lot 10. Dia adalah artis tamu untuk persembahan 'Taikuh Jikang'. Kami adalah kenalan lama sejak ASK. Dia senior aku. Dalam perbualan kami yang singkat, selain bertanya khabar (kerana agak lama juga tidak berjumpa), Ko-e sempat memberi pendapat peribadinya mengenai penglibatannya dengan persembahan dari negara Jepun ini. 

"Kita kena keluar dari kebiasaan, kadang-kadang. Kena tengok orang luar dah buat wayang kulit sehingga ke tahap mana. Bukan bermakna kita tinggalkan terus tradisi. Tapi sekurang-kurangnya, kita dapat lihat perkembangannya.", jelas Ko-e.

Pada malam itu, aku tak jadi hendak menonton kerana aku tahu, pratonton bukannya persembahan penuh. Lagipun, aku sibuk membedah-siasat sebuah skrip yang akan dipentaskan pada bulan September nanti.

Besok malamnya, malam pertama persembahan, aku datang bersama kawan-kawan. Kawan-kawan tu pun datang bersama kawan-kawan. Mendengar sahaja 'wayang kulit Jepun', perasaan ingin tahu membuak-buak. Lebih-lebih lagi mendapat tahu, kumpulan ini bermain alat muzik gamelan Bali dan gendang Sunda. Teringin benar hendak menyaksikannya.




Permulaan persembahan dengan ketukan bonang, dan bayang-bayang manusia di sebalik kelir besar dengan memakai topeng watak wayang kulit (yang direka sendiri - cantiknya koreografi mereka seperti patung wayang kulit yang dimainkan oleh dalang - cantik!), dan kemudian dengan tidak disangka, mereka memasukkan gitar bass dan biola sebagai pelengkap lagu - ini sesuatu yang unik!

Jika wayang kulit, pemuziknya di belakang kelir, tetapi persembahan ini, pemuziknya di hadapan, kelir di belakang. Jadi, kita menonton muziknya. Bukan wayangnya. Ya. Taikuh Jikang adalah pemuzik, bukan pemain wayang kulit. Mereka mengambil muzik wayang kulit Bali dan disuntik unsur moden seperti bass dan biola. Disedapkan lagi dengan permainan suara oleh sepasang penyanyi. Lagunya bukan bahasa Jepun. Bukan bahasa Indonesia. Ianya telah dicampuradukkan dari bahasa Afrika, India, Indonesia, Jepun, Inggeris dan macam-macam bahasa sehingga ia menjadi bahasa baru yang tidak difahami langsung butir katanya. Dalam muzik, bahasa hanya unsur bunyi sahaja. Tidak lebih dari itu.

Tetapi, ia bersatu dengan alunan bonang, gendang Sunda, bass, biola, gong, saron dan gambang. Ko-e dijemput untuk menambah rencah dengan alatannya - serunai, rebab, gendang dan rebana. Gabungan kesemua ini bersatu menjadi irama. Walaupun Ko-e hanya berlatih bersama kumpulan ini hanya 3 jam, tetapi bunyi telah menyatukan hati mereka tanpa kompromi.




Kemunculan watak Wak Long (patung yang dimainkan oleh Ko-e) bersama watak manusia hidup (dilakonkan oleh Kohey Kawamura) di kelir, kita dapat lihat kesatuan antara patung dan manusia boleh disusun atur tanpa ada kecacatan. Permainan ini samalah kita menonton filem 'Mat Gelap'. Watak kartun dan manusia hidup dipertemukan di dalam seluloid.

Menurut Ko-e, mereka (Taikuh Jikang) membuat eksperimen ini selama setahun. Kelir bukanlah dari material kain, tetapi dari kertas. Topeng yang direka juga memberi kesan. Pakaian mereka juga tebal agar tidak ditembusi cahaya. Permainan lampu di belakang kelir dan ruang kembang cahaya juga diambil kira. Aspek-aspek ini menzahirkan bayang-bayang yang padu di atas kelir. Bayang-bayang yang tidak pecah pikselnya.

Inilah yang dimaksudkan dengan slogan 'Ke Hadapan Bersama Tradisi'. Dan inilah contoh hasil tujuan mengapa sekolah seni ditubuhkan. Bukan semata-mata mempertahankan bentuk mak yong dan wayang kulit yang asli. Siapa kita yang tahu menilai keaslian?




Kumpulan 'Taikuh Jikang' secara asalnya dianggotai oleh Kohey Kawamura (pemain gendang Sunda / pengarah artistik), Tomoyuki Hamamoto (pemain gamelan), Go Arai (biola), Aya (bass), Tokuhisa William (vokal) dan Junko Sato (vokal).


Persembahan mereka sedang berlangsung di The Actors Studio, tingkat 8, Lot 10 Bukit Bintang, dari 19 Julai - 21 Julai 2012, jam 8.30pm. Pada 22 Julai 2012, jam 3pm. Tiket berharga RM35. Pelajar RM25 (PROMOSI: beli satu, percuma satu - untuk pelajar sahaja).