Penerbitan Teater | Pengarahan Teater | Penulisan Drama Pentas | Lakon Layar | Puisi | Lirik | Lagu | Ilustrasi | Grafik | Lukisan | Catan | Arca | Tugu | Lakonan | Tarian | Rekaan / Pembuatan Set & Prop | Skrin | Pentas

hubungi negrisamudra@gmail.com untuk berurusan.

Saturday, October 27, 2012

Teater Sederhana


Pada 1 November hingga 2 November 2012, akan berlangsung Festival Teater Pendek 15 minit anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada 8 skrip yang telah memenangi Pertandingan Menulis Skrip Drama Pendek, juga anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka akan berentap. Format festival lebih kurang sama dengan Short+Sweet yang sedang berlangsung di Pentas 2, klpac. Ini satu inisiatif yang baik dari sebuah agensi kerajaan untuk menggalak dan memperkembangkan lagi aktiviti teater Melayu di Malaysia.


Teater Melayu, tidak lagi dilihat sebagai sebuah pementasan yang mesti berunsurkan ekstravaganza, spektakular, berskala besar dan berdurasi 2 jam untuk sesebuah pementasan. Seperti yang saya wartakan pada artikel sebelum ini, kadangkala pementasan berdurasi 10 minit ini lebih memberi kesan dari persembahan yang berjam-jam lamanya.

Apa yang ingin saya katakan, tidak salah jika kita saling belajar antara satu sama lain. Jika tiada yang buruk, takkan ada yang elok. Jika tiada yang bodoh, takkan ada yang bijak. Itu lumrah dan fitrah alam di mana segalanya berpasangan dan saling memerlukan. Tidak perlulah kita menghina mana yang rosak, dan tidak perlulah kita terlampau memuji mana yang sempurna.

Untuk belajar, saya sarankan supaya peserta yang bertanding di dalam Festival Teater Pendek 15 Minit, moleklah jika luangkan masa untuk menonton Short+Sweet di klpac. Begitu juga sebaliknya, peserta Short+Sweet pada minggu hadapan, boleh lah datang menonton di Auditorium DBP. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Dari situlah kita pilih untuk dijadikan KESEDERHANAAN.

Ehem, di Short + Sweet minggu akhir ni, ada sebuah kumpulan dari India - Stray Factory, dengan persembahan mereka bertajuk 'My Name Is Cine.. Ma!'. Saya rasa berat sebelah pula tatkala menulis ini, tapi inilah kenyataan yang mesti diterima. Sebuah persembahan yang bertenaga, dan cukup segala RASA (dalam tempoh 10 minit!). Ia bukan lah persembahan yang mati, di mana gerak pelakon tidak ada niat dan motivasi dan ucapan dialog yang semata-mata untuk que kepada Pengurus Pentas. Sebagai contoh kepada persembahan yang menusuk kalbu, inilah dia!

Jadi, jangan lah malu sangat. Mari lah datang menonton!

:-)

Tuesday, October 9, 2012

Short + Sweet Malaysia 2012



Lupakan saja berita politik dungu yang sedang berlaku di Malaysia. Berita politik akan membuatkan kalian hidup tertekan dan mengundang ramai musuh. Apa kata kalian hiburkan hati dengan menonton.

Menonton Short + Sweet Festival yang berlangsung di Pentas 2 The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) sejak 19 September 2012 lalu, adalah sebuah pengalaman yang menarik. Festival yang berlangsung selama 6 minggu ini dibahagikan kepada 4 kategori - Komedi, Muzikal, Tari dan Teater. Sila rujuk link Short + Sweet di atas, untuk mengetahui jadual persembahan. Ketika rencana ini ditulis, sedang berlangsung Minggu Tari Kumpulan Kedua. Ada 8 persembahan. Dengarnya ada persembahan kuda kepang - wow!

Persembahan pendek dan padat, selama 10 minit - ianya menguji kekuatan para peserta yang disertai oleh pelbagai tahap aktivis seni persembahan, sama ada profesional, amatur, pelajar dan ada juga peserta yang baru saja mengenal apa itu seni persembahan. Jadi, tak usah meletak harapan yang menggunung tinggi jika mahu menonton festival ini. Jika mahu membandingkannya dengan persembahan profesional yang penuh artistik lagi intelektual, lupakan saja. Tetapi, adakalanya, secara tidak sedar, ada dari persembahan-persembahan 'ringkas dan manis' ini lebih hebat dari persembahan besar lagi gempak! Percayalah.

Saya berani janji, kalian takkan merasa bosan yang terlalu lama (jika ada persembahan yang bosan) dan dinamik tontonan kalian akan sentiasa hidup grafnya. Kepada pelajar, digalakkan datang menonton. Bukan senang kita dapat peluang menonton lebih dari lima persembahan pada satu malam. Dari sini kita belajar, jika mahu libatkan diri secara serius dalam bidang seni persembahan.

Oh, lupa. Jangan terlalu cepat menghukum tajuk festival ini dalam bahasa Inggeris, maka penonton Melayu tidak layak untuk datang. Jangan sesekali. Ada juga persembahan dalam bahasa Melayu, malah bahasa Tamil juga. Gerak tari tak perlukan bahasa percakapan pun! Bahasa bukanlah ukuran. Rasa yang perlu kita ambil dan jadikan tauladan. Rasa, perasaan - tidak kenal bahasa dan bangsa.

Akhir kata - datang menonton dan undi. Kalian akan dapat coklat Van Houten yang sedap!

;-p

Saturday, October 6, 2012

Ratna Kadhal (Cinta Ratna)


Revolution Stage dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara & Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mempersembahkan projek #BANGKIT Lima Persembahan :-

"Ratna Kadhal"
karya dan arahan Khairunazwan Rodzy

19 Oktober 2012 8.30pm
20 Oktober 2012 - 21 Oktober 2012 3.30pm & 8.30pm

Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay

Tiket RM20

*Sila rujuk poster untuk maklumat lanjut.

Friday, September 28, 2012

BANGKIT Dengan Lima Pementasan


Terngiang-ngiang lagu M. Nasir bertajuk Pheonix Bangkit tatkala membaca tajuk projek terbaru Revolution Stage - BANGKIT. Seolah-olah sudah sekian lama tidur, kini bangkit bersama lima pementasan yang memenuhi hujung minggu selama sebulan.

Maklumat lanjut, sila ke Revolution Stage.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta'ala, dan semoga segala apa yang dirancangkan, berjalan dengan baik, segalanya dengan izin-Nya jua. Amin ya rabbal 'alamin. Hamba, dipilih oleh Khairunazwan Rodzy (Wan), Pengarah Artistik Revolution Stage untuk mewakili Seni Suri Jawi membawa naskah 'Le Jeu La Julia' (tulisan hamba) sebagai salah satu persembahan dalam projek Bangkit. Hamba disarankan oleh Wan supaya membawa kisah remaja.

'Le Jeu La Julia', menampilkan Wanji Zain, Aisya Mulya dan Azrul Azizi. Kisah di zaman penghujung 90an, sebelum internet menyerang dunia. Zaman penghujung mesin taip dan telefon awam sebelum komputer, android dan telefon pintar berkuasa. Kisah budak tingkatan lima yang dilanda perasaan cinta. Cinta yang terpendam dan cinta yang terbuang. Mencari cinta yang jauh, rupanya cinta di depan mata. Ianya sebuah karya ringan, mudah difahami dan ditujukan bukan saja kepada remaja, malah golongan dewasa yang bersekolah di zaman itu, amat dialu-alukan jika mahu mengimbau nostalgia. Tetapi, masing-masing punya nostalgia masing-masing. Ini, hamba ketengahkan nostalgia hamba.

* Le Jeu La Julia (Perancis) - Teater Julia.

Jika ditanya kenapa memilih tajuk dalam bahasa Perancis, bagi hamba, Perancis dan cinta tidak dapat dipisahkan. Paris, Eifel Tower dan potret Monalisa di Musee du Lourve, kesenian, sastera, lagu-lagu yang kebanyakkannya berkisarkan cinta. Juga Le Tour de French. Mengembara ke Perancis adalah impian watak Fadlun di dalam naskah ini. Boleh dikatakan, Paris ialah sebuah kota romantik.

Saturday, August 4, 2012

Dukun 'Ball Bearing' dan Lain-lain Anekdot


Dukun, suami kepada Cikgu Zainab. Sekali pandang, Dukun kelihatan seperti Jon Lord Deep Purple. Dengan misainya, dengan rambutnya. Macam Nasir Bilal Khan dalam Perempuan, Isteri dan Dot Dot Dot pun ada. Dukun tak bekerja. Duduk di rumah, lepak dengan kawan-kawan. Susah nak jumpa Dukun lepak di pekan. Hanya untuk membeli rokok sahaja, Dukun ke pekan dengan motosikal Suzuki Jipang (GP 100) warna merahnya. Jika tidak,masanya dihabiskan di pangkin, bawah rumahnya.

Rumah papan berusia lebih kurang 30 tahun, rumah lama. Papannya pun sudah kelabu. Atas tebing sungai. Di seberang sungai, terdampar indah bendang padi. Halamannya lapang menghijau rumput dan lalang. Ada tiga pokok rambutan menjadi pasak tebing sambil merimbun laman. Dawai kawat dan tiang-tiang kayu yang mereput dan condong tak tentu arah, memagari kawasan. Di hadapan anjung, ada empat kubur lama. Batu nisan Aceh. Ada yang pecah, ada yang senget. Tak tahu kubur siapa. Mungkin kubur tuan rumah. Di sinilah Dukun bersama isteri dan anak daranya bernama Ani menetap. Di lot sebelah, terdapat sebuah rumah tinggal, lebih kurang seusia, tetapi rumahnya lebih besar dan cantik dihiasi kerawang. Halamannya penuh semak-samun dan lalang yang meninggi. Abaikan.

Dukun gemar tak berbaju ketika lepak di pangkin. Jelas kelihatan, belakang badannya sebelah kiri, ada tattoo salib terbalik. Berseluar jeans biru lusuh paras lutut, adalah seluar kegemarannya. Bersama Kamal Sapam dan John Wan Timah (nama sebenar: Johan. Wan Timah nama maknya), mereka mengganja dan mendadah. Lebih kurang 500 meter dari rumah Dukun, ada dusun milik Sidek. Di dusun tersebut, ada ladang ganja seluas sepuluh kaki persegi yang diusahakan oleh belia-belia kampung. Tiap kali bunganya masak dan memecah bau, tiada siapa perasan kerana dusun itu terletak di lereng cangkat, di bawah menara elektrik kebangsaan. Angin yang lalu di situ membantu menyebarkan bau harum bunga ganja ke serata alam.

Cikgu Zainab, seorang yang cantik. Ramai yang tertanya kenapa Cikgu Zainab masih bersama Dukun. Jawapannya ada pada Dukun. Kalau tidak kerana pengalaman di dalam penjara, tentu dia takkan dapat beristerikan Zainab. Kalau tidak kerana 'ball bearing' yang ditanam dalam kulit alat sulitnya, tentu Zainab sudah lama meninggalkan dia.

~bersambung di dalam buku DUKUN 'BALL BEARING' & LAIN-LAIN ANEKDOT~

Thursday, July 19, 2012

Ko-e Bertemu Kohey Dalam 'Taikuh Jikang'



Pada malam pratonton, aku terserempak dengan Ko-e atau Kamrul Bahri Hussin, di tingkat 4, Lot 10. Dia adalah artis tamu untuk persembahan 'Taikuh Jikang'. Kami adalah kenalan lama sejak ASK. Dia senior aku. Dalam perbualan kami yang singkat, selain bertanya khabar (kerana agak lama juga tidak berjumpa), Ko-e sempat memberi pendapat peribadinya mengenai penglibatannya dengan persembahan dari negara Jepun ini. 

"Kita kena keluar dari kebiasaan, kadang-kadang. Kena tengok orang luar dah buat wayang kulit sehingga ke tahap mana. Bukan bermakna kita tinggalkan terus tradisi. Tapi sekurang-kurangnya, kita dapat lihat perkembangannya.", jelas Ko-e.

Pada malam itu, aku tak jadi hendak menonton kerana aku tahu, pratonton bukannya persembahan penuh. Lagipun, aku sibuk membedah-siasat sebuah skrip yang akan dipentaskan pada bulan September nanti.

Besok malamnya, malam pertama persembahan, aku datang bersama kawan-kawan. Kawan-kawan tu pun datang bersama kawan-kawan. Mendengar sahaja 'wayang kulit Jepun', perasaan ingin tahu membuak-buak. Lebih-lebih lagi mendapat tahu, kumpulan ini bermain alat muzik gamelan Bali dan gendang Sunda. Teringin benar hendak menyaksikannya.




Permulaan persembahan dengan ketukan bonang, dan bayang-bayang manusia di sebalik kelir besar dengan memakai topeng watak wayang kulit (yang direka sendiri - cantiknya koreografi mereka seperti patung wayang kulit yang dimainkan oleh dalang - cantik!), dan kemudian dengan tidak disangka, mereka memasukkan gitar bass dan biola sebagai pelengkap lagu - ini sesuatu yang unik!

Jika wayang kulit, pemuziknya di belakang kelir, tetapi persembahan ini, pemuziknya di hadapan, kelir di belakang. Jadi, kita menonton muziknya. Bukan wayangnya. Ya. Taikuh Jikang adalah pemuzik, bukan pemain wayang kulit. Mereka mengambil muzik wayang kulit Bali dan disuntik unsur moden seperti bass dan biola. Disedapkan lagi dengan permainan suara oleh sepasang penyanyi. Lagunya bukan bahasa Jepun. Bukan bahasa Indonesia. Ianya telah dicampuradukkan dari bahasa Afrika, India, Indonesia, Jepun, Inggeris dan macam-macam bahasa sehingga ia menjadi bahasa baru yang tidak difahami langsung butir katanya. Dalam muzik, bahasa hanya unsur bunyi sahaja. Tidak lebih dari itu.

Tetapi, ia bersatu dengan alunan bonang, gendang Sunda, bass, biola, gong, saron dan gambang. Ko-e dijemput untuk menambah rencah dengan alatannya - serunai, rebab, gendang dan rebana. Gabungan kesemua ini bersatu menjadi irama. Walaupun Ko-e hanya berlatih bersama kumpulan ini hanya 3 jam, tetapi bunyi telah menyatukan hati mereka tanpa kompromi.




Kemunculan watak Wak Long (patung yang dimainkan oleh Ko-e) bersama watak manusia hidup (dilakonkan oleh Kohey Kawamura) di kelir, kita dapat lihat kesatuan antara patung dan manusia boleh disusun atur tanpa ada kecacatan. Permainan ini samalah kita menonton filem 'Mat Gelap'. Watak kartun dan manusia hidup dipertemukan di dalam seluloid.

Menurut Ko-e, mereka (Taikuh Jikang) membuat eksperimen ini selama setahun. Kelir bukanlah dari material kain, tetapi dari kertas. Topeng yang direka juga memberi kesan. Pakaian mereka juga tebal agar tidak ditembusi cahaya. Permainan lampu di belakang kelir dan ruang kembang cahaya juga diambil kira. Aspek-aspek ini menzahirkan bayang-bayang yang padu di atas kelir. Bayang-bayang yang tidak pecah pikselnya.

Inilah yang dimaksudkan dengan slogan 'Ke Hadapan Bersama Tradisi'. Dan inilah contoh hasil tujuan mengapa sekolah seni ditubuhkan. Bukan semata-mata mempertahankan bentuk mak yong dan wayang kulit yang asli. Siapa kita yang tahu menilai keaslian?




Kumpulan 'Taikuh Jikang' secara asalnya dianggotai oleh Kohey Kawamura (pemain gendang Sunda / pengarah artistik), Tomoyuki Hamamoto (pemain gamelan), Go Arai (biola), Aya (bass), Tokuhisa William (vokal) dan Junko Sato (vokal).


Persembahan mereka sedang berlangsung di The Actors Studio, tingkat 8, Lot 10 Bukit Bintang, dari 19 Julai - 21 Julai 2012, jam 8.30pm. Pada 22 Julai 2012, jam 3pm. Tiket berharga RM35. Pelajar RM25 (PROMOSI: beli satu, percuma satu - untuk pelajar sahaja).